Kompeni Hindia Belanda (VOC)
VOC merupakan
syarikat besar dari Belanda yang menjalankan bisnes besar-besaran
seperti perkapalan, rempah ratus, perladangan, tekstil, perdagangan,
barang hiasan, tembikar, tembakau dan sebagainya. Ia telah memasuki Asia
Tenggara kerana pasaran rempah ratus yang menguntungkan. Selain dari
itu, Indonesia khususnya mempunyai kedudukan geografi yang sangat baik
dalam bisnes kopi dan teh.
Pengaruh Belanda
mula berkembang apabila Sultan Amangkurat II (Sultan Mataram) memberi
kuasa kawalan kepada VOC di Semarang akibat beban hutang selepas perang.
Kemudian, Kota Semarang menjadi milik VOC secara rasmi oleh Susuhan
Pakubuwono I berdasarkan perjanjian yang dibuat bagi melangsaikan
seluruh hutang kerajaan Mataram.
Di bawah
pentadbiran VOC, Kota Semarang menjadi maju dengan pembinaan stesen
kereta api, jalan raya, bangunan pentadbiran (sebagai contoh, Lawang
Selu), pusat pelabuhan kapal dagang, pusat mel dan sebagainya. Dari
tahun 1870-1922, Kota Semarang menjadi sebuah bandar moden. Namun
sebelum itu, terdapat kepincangan dalam pentadbiran VOC pada sekitar
tahun 1830-an yang menyebabkan orang Jawa memberontak.
Sistem Tanaman Paksa (Cultuurstesel atau Sistem Kultur)
Sistem tanaman
paksa diperkenalkan oleh VOC pada sekitar tahun 1830-an bagi menampung
kerugian yang menimpa akibat beberapa kegagalan bisnes dan perang antara
Napoleon dan Nazi Jerman. Perintah tersebut dikeluarkan oleh Gabenor
Jeneral Johannes van den Bosch dengan menetapkan bahawa setiap desa
mesti membahagikan sebahagian tanah sebanyak 20% untuk tanaman komoditi
eskport iaitu kopi, tebu, nila, tembakau, kayu manis, kapas dan juga
teh. Petani dikehendaki menanam tanaman komoditi tersebut dan menjualnya
hasil tanaman kepada pihak VOC dengan harga yang sudah ditetapkan. Bagi
petani yang tidak ada tanah sendiri, mereka diperintah untuk bekerja 75
hari dalam setahun di setiap kebun milik pemerintah dan setiap tanaman
mestilah mengeluarkan hasil dalam tempoh yang singkat.
Sistem ini
merupakan kawalan penuh terhadap ekonomi dan lebih keras jika
dibandingkan dengan sistem monopoli VOC kerana petani hanya menanam
tanaman tertentu sahaja dan menjualnya dengan harga yang sudah pun
ditetapkan. Petani tidak mendapat untung dari jualan, malah kebuluran
kerana tidak dibenarkan menanam padi ataupun tanaman lain yang dapat
mengenyangkan perut.
Akibat dari sistem
tersebut, permintaan terhadap beras meningkat dan harga beras turut
melambung. Pada 1843, bencana kebuluran melanda di Cirebon, Jawa Barat,
diikuti oleh Jawa Tengah pada 1850. Penduduk akhirnya merusuh dan
memberontak. Kemudian, pada tahun 1870, sistem ini dihapuskan. Tetapi,
sistem tanaman paksa untuk kopi diteruskan sehingga ke tahun 1915.
Galakan Temenggung Daeng Ibrahim
Sistem tanaman
paksa untuk kopi berlanjutan sehingga ke tahun 1915. Walaupun beberapa
tanaman paksa lain telah dihapuskan tetapi ia masih memberi kesan
terhadap masalah kebuluran dan kemelut harga beras yang belum selesai.
Akibat dari desakan pihak Belanda, segelintir masyarakat Jawa memutuskan
untuk berhijrah keluar. Pada masa itu, perladangan gambir dan bisnes
kayu kayan sangat menguntungkan di Johor.
Johor merupakan
negeri di Tanah Melayu yang bekerjasama dengan pihak British dan
mengamalkan dasar modenisasi dalam pentadbiran, pembangunan dan
perniagaan. Galakan pertama bermula pada 1800-1825 menerusi nakhoda
Jawa berdarah Arab yang sering berulang-alik membawa orang Jawa masuk ke
Tanah Melayu. Galakan Temenggung Daeng Ibrahim telah membuka peluang
kehidupan yang lebih baik untuk orang Jawa ke Johor dengan memberi
peluang pekerjaan, dan membuka kebun atau ladang sendiri. Galakan itu
diteruskan oleh cucu Temenggung iaitu Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu
Bakar bagi mengimbangi pola jumlah pekerja Cina menerusi sistem Kangcu
dan juga Kangkar.
Syarikat Konstantinople
Penghijrahan orang
Jawa ke Johor meningkat dan berkembang menerusi Syarikat Konstantinople.
Syarikat ini dimiliki seorang saudagar Arab yang telah membuka ladang
di Pontian. Saudagar itu merupakan sahabat baik kepada Sultan Abu Bakar
dan telah membawa masuk pekerja dari Jawa menerusi Sistem Haji- memberi
peluang kepada orang Jawa Muslim menunaikan haji, memberi wang
perbelanjaan semasa bekerja dengan syarikat, dibenarkan untuk terus
menetap di Johor atau dibenarkan pulang ke tempat lahir setelah selesai
perjanjian. Sistem Haji ternyata menarik perhatian orang Jawa ke Johor,
selain dari khabar dari luar mengenai kemakmuran dan kegemilangan Johor
dan Singapura.
Pada masa itu,
Syarikat Konstantinople sangat terkenal di Asia Tenggara dan menjalankan
perdagangan ke seluruh kawasan Nusantara. Perdagangan yang diusahakan
termasuklah perkapalan, perladangan, hasil bumi dan sebagainya. Bisnes
syarikat ini juga meluas sehingga ke Timur Tengah. Sistem Haji yang
diperkenalkan oleh syarikat ini telah menarik lebih ramai orang Jawa
yang mahu melepaskan diri dari pemerintahan Kristianiti Belanda dan
sistem itu juga membenarkan mereka menunaikan haji serta tiada unsur
penipuan.Oleh sebab itu, jumlah orang Jawa merantau ke Tanah Melayu
semakin berkembang malah turut menyertai beberapa pelayaran perdagangan
ke Sabah dan Sarawak. Menerusi pelayaran syarikat tersebut, beberapa
siri penghijrahan telah berlaku ke kepulauan Borneo dan membina
penempatan kekal.
Penaklukan Jepun
Kuasa Jepun tiba di
Indonesia pada tahun 1942, kesan dari penguasaan Perang Pasifik dan
pengeboman Pearl Harbour milik Amerika Syarikat. Pasukan Belanda yang
terakhir tumpas pada Mac 1942. Bagi kawasan yang menjadi pusat kawalan
Jepun, penduduknya berhadapan dengan perhambaan, seksaan, penahanan
rawak, Jugun Ianfu (istilah untuk perempuan muda sekitar usia 14-16 yang
dijadikan hamba seks kepada askar Jepun) dan hukuman mati.
Pada 26 Julai 1941,
aset milik VOC telah dibekukan. Pada 8 Disember 1941, Tanah Melayu dan
Filipina telah diserang. Kemudian pada 17 Disember 1941, Jepun telah
mendarat di Sarawak dan menyerang Ternate. Selang seminggu, Sarawak
menjadi kawasan jajahan Jepun. Siri penjajahan Jepun yang bermula pada
Januari 1941 di Indonesia akhirnya berlanjutan masuk ke Tanah Melayu,
kepulauan Borneo serta Filipina dengan tempoh masa yang cepat telah
menyebabkan permintaan terhadap pekerja buruh, hamba dan makanan.
Pada tahun
1942-1945, berlaku perpindahan tentera paksa (golongan Giyugun atau
Heiho) dari Jawa ke Tanah Melayu (juga ke seluruh Asia Tenggara) bagi
mengatasi masalah kekurangan rekrut yang kebanyakannya dihantar ke
Pasifik. Malah, terdapat segerombolan pekerja paksa dari Jawa telah
dikirim ke serata kawasan penaklukan Jepun bagi membantu dalam projek
pembinaan landasan kapal terbang, jalan raya, jambatan dan kerja-kerja
perburuhan yang lain.
Perintah pindah tersebut menyebabkan pola jumlah orang Jawa terus berkembang di Tanah Melayu, sehingga ke Sabah dan Sarawak.
Sistem Romusha
Pendudukan Jepun
sangat meluas di Asia (di China, Korea Selatan, Vietnam, Myanmar, Tanah
Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura, Filipina serta di Indonesia). Pendek
kata, hampir keseluruhan kawasan Asia Tenggara menjadi milik Jepun.
Dengan keluasan tanah jajahan, Jepun memerlukan tenaga kerja yang ramai
bagi memenuhi keperluan hidup dan juga perang. Mereka memerlukan pekerja
untuk memberi mereka makanan, bertani, membina kubu, menyiapkan jalan
raya dan jambatan, membersihkan kawasan, dan sebagainya.
Golongan yang
menjadi tenaga kerja berat untuk Jepun dikenali sebagai Romusha yang
bermaksud 'askar kecil'. Sistem ini diperkenalkan di kedesaan Jawa dan
mewajibkan semua petani wajib menjadi Romusha pada tahun 1943. Pada
awalnya, romusha disertai oleh petani di Jawa secara sukarela
sehinggalah tercetusnya perang antara Jepun dengan Pihak Bersekutu di
Pasifik. Askar Jepun telah dikerah untuk menyertai perang tersebut dan
menyebabkan pengerahan tenaga kerja baru yang terdiri dari penduduk
lokal. Hidup
menjadi seorang Romusha sangat susah kerana kesihatan mereka tidak
dijamin, kebuluran, diserang penyakit, tiada jaminan perubatan dan tidak
diberi pakaian yang sempurna (hanya memakai pakaian yang diperbuat
daripada guni dan dihinggap oleh kutu.)
Pengambilan Romusha terdiri dari dua cara iaitu:
- kerja bakti (pada peringkat awal- program Kinrohosi atau kerja bakti/sukarela)
- kerja paksa (menerusi kerja paksa, Romusha diperolehi dengan mengheret mereka keluar dari rumah, pengumpulan tenaga kerja dari desa ke desa, mengupah orang untuk menangkap penduduk malah menculik penduduk untuk dijadikan Romusha seperti yang pernah berlaku di Demak pada 1944-1945)
Kesimpulan
Ringkasan perjalanan Orang Jawa ke Sarawak berlaku disebabkan oleh:
- Tekanan VOC menerusi tanaman paksa dan menyebabkan orang Jawa berhijrah.
- Galakan pemerintah dari Johor yang lumayan membawa kepada penempatan Jawa di Johor.
- Perluasan perdagangan antara pemerintah Johor dengan Syarikat Konstantinople yang berdagang sehingga ke Sarawak.
- Perpindahan orang Jawa ke Sarawak menerusi Syarikat Konstantinople dan juga pengaruh British di bawah naungan keluarga Brooke.
- Penaklukan Jepun di Sarawak dengan membawa sejumlah rekrut baru dari Jawa.
- Sistem Romusha yang meluas sehingga ke Sarawak.
- Penambahan populasi Jawa di Sarawak menerusi perdagangan, penaklukan dan perburuhan telah menyebabkan beberapa perkampungan Jawa wujud seperti Kampung Kolong 1 & 2, Kampung Sungai Bedil Kecil (disebut sebagai Astana Lama), Kampung Demak, Kampung Semarang, Kampung Sourabaya, Kampung Boyan, Kampung Gersik, dan beberapa perkampungan yang lain.
_______________________________________________________________
Rujukan:
Artikel Romusha Pekerja Paksa Zaman Pendudukan Jepang
Isnaeni, Hendri, & Apid (2008). Romusa Sejarah yang Dilupakan. Yogyakarta: Ombak
Sumarmo, A.J.(1991). Pendudukan Jepang dan Proklamasi Kemerdekaan Indonesia. Semarang: IKIP Press
Artikel Kedatangan Jawa ke Johor
Menerusi blog penulisan Tengku Sheikh Engku Bendahara pada 2012.
Artikel Kota Semarang
Menerusi laman sesawang Wikipedia
Dikemaskini pada April 2013
Artikel Sejarah Pendudukan Jepang (1942-1945)
Menerusi blog penulisan History1978. files. wordpress pada 2008.
Artikel Tanaman Tebu di Pulau Jawa masa Tanam Paksa
Menerusi laman sesawang BudiDaya
Dikemaskini pada Mac 2013
Artikel Kampung Kolong
Menerusi laman sesawang Telecentre-Maklumat Am
Dikemaskini pada Februari 2013
sumber:http://themaidensgiedd.blogspot.com/2013/05/ringkasan-perjalanan-orang-jawa-ke.html
No comments:
Post a Comment