Pages

Thursday, 13 March 2014

BioNG = Gas dari sisa sawit










Sektor pengangkutan juga merupakan antara penyumbang terbesar kepada pelepasan karbon dioksida di negara ini, iaitu sebanyak 40.5 peratus.
Bagi membendung kenaikan kos akibat harga bahan api yang sentiasa meningkat serta pencemaran alam sekitar yang berleluasa, satu badan khas iaitu Pasukan Petugas Khas Mengenai Tenaga Boleh Diperbaharui telah ditubuhkan pada tahun 2008 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menurut Presiden Sirim Berhad, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof, badan khas tersebut diwujudkan untuk membangun dan memajukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) dalam bidang berkaitan penghasilan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui seperti biomas, angin, solar dan sebagainya.
Jelasnya, Sirim telah dipertanggungjawab untuk membangunkan satu projek khas iaitu Projek Penghasilan Biometana (Bio Natural Gas) daripada sisa buangan kilang sawit (POME).
“Sirim amat berterima kasih kepada sokongan daripada pihak MOSTI, terutamanya menerusi penganugerahan dana Sciencefund dan juga Technofund telah menjayakan kilang prototaip penghasilan gas semulajadi daripada POME.
“Kejayaan penghasilan gas bio semulajadi ini dilihat dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, memperbanyakkan pilihan bahan api, sumber yang lebih selamat, serta mampu mengurangkan pembebasan karbon daripada industri kelapa sawit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis lawatan kerja Menteri MOSTI, Datuk Dr. Ewon Ebin ke loji perintis gas asli bio (BioNG) di Pulau Carey, Selangor baru-baru ini.
Yang turut hadir pada sesi lawatan kerja tersebut adalah Pengerusi Sirim Berhad, Datuk Jamaliah Kamis; Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Dr. Mohd. Azhar Yahaya dan Ketua Penyelidikan dan Pembangunan, Sime Darby Plantation, Dr. Mohamed Nazeeb P. Ali Thambi.
Jelas Dr. Zainal Abidin, penghasilan loji perintis BioNG oleh Sirim tersebut merupakan projek penuaian gas semulajadi daripada POME yang pertama di dunia.
Dr. Zainal Abidin yang juga merupakan Ketua Eksekutif Sirim Berhad berkata, pengeluaran biogas asli dari POME tersebut akan menguntungkan negara di masa hadapan terutamanya dalam menghadapi kenaikan harga minyak yang disebabkan faktor global.


Industri sawit negara mencatatkan kadar bahan buangan (biomas) sebanyak 140 juta tan setiap tahun di seluruh negara. Kebanyakannya dihasilkan di kilang pemprosesan.
Bahan buangan tersebut sebelum ini hanya dibiarkan mereput dalam kolam rawatan dan sebanyak 67 juta meter persegi gas metana yang terhasil dibebaskan ke udara sepanjang tahun.
Gas itu yang merupakan biogas dari sumber semula jadi seperti hasil sisa buangan kilang (POME) sebenarnya mempunyai banyak manfaat. Malah mampu memberi pendapatan tambahan daripada penjualan tenaga tambahan dan kredit karbon.
Satu daripada projek penyelidikan memanfaatkan POME ialah menukarkan bahan buangan tersebut kepada gas asli yang boleh digunakan sebagai bahan api kenderaan.
Penggunaan POME sebagai bahan api kenderaan telah terbukti selepas kejayaan penyelidik daripada Sirim Berhad diketuai oleh Ketua Program Pusat Penyelidikan Tenaga Diperbaharui, Teknologi Tenaga Biomas Sirim Berhad, Azhar Abdul Raof.
“Tujuan kita mencuba biogas ini sebagai bahan bakar bagi menguji prestasinya.
“Selepas ujian dijalankan, kita dapati prestasinya sama dengan gas asli yang digunakan sekarang," katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau memberitahu, siri ujian telah dijalankan sejak Ogos tahun lepas ke atas kenderaan yang diubah suai dengan meletakkan penukar gas dan diisi penuh dengan gas tersebut yang dikenali dengan nama BioNG.
Kuantiti yang digunakan ialah isipadu gas bersamaan 16 liter petrol yang mampu membawa kenderaan sehingga 180 kilometer.
Dengan kejayaan tersebut, Sirim akan meneruskan kajian ke atas kenderaan lain.
Tetapi menurut Azhar, beliau menyasarkan penggunaan BioNG kepada industri yang menggunakan minyak diesel.
“Apa sahaja sektor industri yang menggunakan diesel seperti loji perintis, boiler atau kilang boleh memanfaatkan BioNG," katanya.
Projek BioNG tersebut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Sime Darby Group of Companies menerusi Sime Darby Research Sdn. Bhd. Loji perintis BioNG tersebut dibina di kilang East Oil Mill milik Sime Darby Plantation. Sdn Bhd. pada skala 500 Nm3 (bersamaan 500 liter petrol).
Projek tersebut dilaksanakan oleh Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui Sirim dibiayai dana Technofund, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) tersebut bermula pada 2009, siap sepenuhnya pada Ogos 2012.
Data yang diperolehi daripada projek tersebut telah membantu jurutera dan juga saintis (Sirim dan Sime Darby) yang terlibat mengoptimumkan kualiti gas bio dan reka bentuk keseluruhan loji tersebut.
Loji yang memiliki ciri-ciri lengkap dengan sistem penyingkiran ‘impuriti’, karbon dioksida serta sistem pemampatan gas bertekanan tinggi tersebut turut dibina bagi memenuhi serta menepati piawaian di sektor gas dan minyak.
Azhar berkata, berbeza dengan sumber tenaga semula jadi lain seperti solar dan angin, BioNG boleh disimpan dan dipindahkan menerusi penggunaan silinder CNG (Gas asli termampat).
Tangki komposit CNG yang digunakan untuk penyimpanan biogas asli juga dibangunkan oleh Sirim dengan menggunakan teknologi filament winding yang mana menjadikan tangki komposit gentian karbon berkenaan lebih ringan dan selamat berbanding tangki gas biasa.
“Sebuah lori tangki komposit CNG mampu memindahkan 2,000 meter padu BioNG bersamaan 1.5 tan gas semulajadi cair (LNG).
“Malah, tidak seperti gas asli yang ditemui di dasar laut, BioNG tidak memerlukan saluran paip khas untuk memindahkannya dari satu tempat ke satu tempat," katanya.
Jelas Azhar, proses menukarkan POME kepada BioNG juga amat mudah dengan menyalurkan bahan buangan tersebut ke dalam tangki atau kolam anaerobik yang bertutup.
Seterusnya sebuah pam khas disediakan bagi menyedut gas yang dibebas daripada tangki dan kolam POME tersebut ke dalam sebuah kebuk khas untuk tujuan penulenan.
“Kebuk khas tersebut akan menapis gas-gas yang tidak diperlukan seperti hidrogen sulfat, karbon dioksida dan kelembapan.
“Setelah gas BioNG ditapis, bahan ini akan dimampatkan ke dalam tangki CNG," katanya.
Pelancaran BioNG itu disempurnakan oleh Menteri MOSTI, Datuk Dr. Ewon Ebin di Shah Alam baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Timbalannya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Dr. Mohd. Azhar Yahaya.

No comments:

Post a Comment