Pages

Tuesday, 5 November 2013

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad































Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (Tulisan Jawi: محضير بن محمد, dilahirkan pada 20 Disember 1925; juga digelar sebagai "Dr. M" dan nama penanya Che Det) adalah Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Ketika penggal kepimpinannya dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003, beliau menerajui negara ke arah arus kemodenan yang amat pantas dan menyebabkan kemakmuran di segala lapisan masyarakat Malaysia.

Pencapaian terbaiknya ialah keupayaannya mengekalkan keamanan dan kedamaian dalam sebuah negara yang berbilang bangsa melalui pemeliharaan suatu golongan pertengahan orang Melayu. Walau bagaimanapun, beliau sentiasa dikritik atas gaya pemerintahannya yang autokratik dan dituduh bersifat kronisme.

Beliau juga merupakan seorang tokoh politik antarabangsa yang suka berterus-terang dan bersifat kontroversi. Beliau adalah seorang penganjur gagah nilai-nilai Asia — kapitalisme autokratik yang dianjurkan oleh negeri — sebagai alternatif kepada individualisme Amerika Syarikat dan kapitalisme dasar berkecuali (laissez-faire).

Dr Mahathir telah dikaitkan dengan pembangunan pelbagai projek mega pada zaman pemerintahannya seperti projek Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Menara Berkembar PETRONAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Coridor/MSC).

Selepas persaraannya, nama Dr Mahathir terus terpahat sebagai "Bapa Pemodenan Malaysia", negarawan ulung yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara moden, makmur, ceria dan penuh bertenaga. Pada Jun 2005, beliau dianugerahkan sebagai Tun, pangkat kehormatan yang tertinggi di Malaysia. Melalui perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, beliau merupakan pemimpin paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara.

Latar Belakang
Dr. Mahathir dilahirkan di No.18, Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 20 Disember 1925. Bapanya bernama Mohamad bin Iskandar berketurunan separuh India (anak kepada seorang Malayalee yang berhijrah ke Malaysia dari Kerala, India) sementara ibunya seorang Melayu bernama Wan Tempawan binti Wan Hanafi. Dalam autobiografinya, Dr. Mahathir mengaku bahawa beliau mempunyai keturunan orang India yang mempunyai kaitan dengan Kerala, India (di mana tempat asal orang Malayalee), manakala ibunya adalah orang Melayu yang dilahirkan di Kedah. Walau bagaimanapun, beliau mengganggapkan dirinya sebagai Melayu yang tulen.

Nama datuk beliau, "Iskandar" turut diabadikan pada sebuah sekolah rendah di bandar Alor Setar, Sekolah Rendah Kebangsaan Iskandar. Manakala ayahnya pula adalah guru bahasa Inggeris dan juga Guru Besar pertama Sekolah Inggeris di Alor Star, sekarang dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH). Di sekolah tersebut, bapa beliau dipanggil sebagai "Master" atau "Mohamad Iskandar".

Ibunya mempunyai kaitan keturunan dengan Wan Mat Saman, iaitu bekas Menteri Besar Kedah yang berusaha membangunkan pertanian di Kedah melalui terusan yang terkenal dengan nama 'Terusan Wan Mohamad Saman' atau Sungai Korok.

Beliau mempunyai 9 adik-beradik, iaitu empat perempuan dan lima lelaki, yang mana Dr. Mahathir merupakan anak bongsu. Empat dari mereka (dua lelaki dan dua perempuan) adalah saudara sebapanya, hasil perkahwinan Mohammad bin Iskandar dengan isteri yang pertama.

Pendidikan
Dr. Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Selepas lulus, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Government English School (GES), kini Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar pada tahun 1932. Beliau akhirnya lulus Sijil Tinggi Pelajaran (Senior Cambridge) di sekolah tersebut. Sewaktu Perang Dunia Ke-2, Dr. Mahathir menghabiskan masanya dengan berniaga cendol, diikuti dengan membuka kedai kopi dan kemudiannya gerai buah-buahan di Pekan Rabu, Alor Setar.

Beliau seterusnya menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, Universiti Malaya, Singapura, dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) pada tahun 1953. Selepas mendapat ijazah, beliau ditugaskan sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang, Malaysia.

Kerjaya dan Keluarga
Pada tahun 1954, Dr. Mahathir berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Alor Setar, Jitra, Langkawi dan Perlis sehingga tahun 1957.Beliau kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali pada 5 Ogos, 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata, iaitu empat lelaki dan tiga perempuan. Anak-anak beliau ialah :

* Marina Mahathir
* Mirzan Mahathir
* Melinda Mahathir
* Mokhzani Mahathir
* Mukhriz Mahathir
* Maizura
* Mazhar
 

Pada tahun 1957, beliau berhenti dari perkhidmatan kerajaan untuk membuka kliniknya sendiri, MAHA Klinik yang terletak di Jalan Tunku Ibrahim. Ketika itu, beliau merupakan anak Melayu pertama yang membuka klinik persendirian di Alor Star yang pada ketika itu terdapat lima buah klinik sahaja. Klinik ini kemudiannya berpindah ke 1587, Jalan Sultan Badlishah, 05000 Alor Setar dan kekal sehingga sekarang.

Penglibatan Dalam Politik
Kerjaya politik Dr. Mahathir bermula pada tahun 1945 apabila beliau aktif dalam dalam beberapa kesatuan antaranya Saberkas, Kesatuan Pemuda Melayu Kedah dan akhirnya dalam UMNO. Dr. Mahathir buat pertama kalinya bertanding dan memenangi pilihan raya umum sebagai calon Perikatan bagi Kawasan Parlimen Kota Setar Selatan pada tahun 1964. Pada pilihan raya umum 1969 yang mencetuskan rusuhan kaum, Dr. Mahathir tewas di tangan calon PAS.

Beliau seterusnya dipecat dari UMNO kerana perselisihan pendapat dengan pucuk pimpinan UMNO. Pada masa ini beliau telah menghasilkan bukunya The Malay Dilemma bagi menerangkan masalah orang-orang Melayu dalam konteks perpaduan negara. Beliau diterima semula menyertai UMNO pada 7 Mac 1972 dan dilantik menjadi Ahli Dewan Negara pada tahun 1973. Dalam pilihanraya 1974, beliau bertanding di Kawasan Parlimen Kubang Pasu atas tiket Barisan Nasional dan menang tanpa bertanding. Berikutan dengan kemenangan itu, Dr. Mahathir dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Tun Abdul Razak.

Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi pertama Majlis Pelajaran Tinggi yang ditubuh pada 1966 seterusnya sebagai Ahli Majlis Penasihatan Pelajaran Tinggi dan juga pernah menjadi Ahli Universiti Court, Universiti Malaya. 


Apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia pada awal tahun 1976, Tun Hussein Onn yang menjadi Perdana Menteri Malaysia melantik Dr. Mahathir sebagai timbalannya. Walaupun mejadi Timbalan Perdana Menteri, beliau juga bertugas sebagai Menteri Pelajaran hingga 1978.
Kemudian pada 1978 beliau bertugas pula sebagai menteri di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. 

Berikutan peletakan jawatan Tun Hussein sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981, Dr. Mahathir yang pada ketika itu menang kerusi Timbalan Presiden UMNO, secara automatik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-empat. 













No comments:

Post a Comment