Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990)
Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar,
Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.
Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal
pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni
Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.
Tunku merupakan anak
lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid
Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24.
Bondanya Cik Menyelara, seorang
isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah raja.
Cik Menyalara ialah anak Luang Naraborir, seorang Pegawai Daerah di utara Thailand. Luang berasal dari Pegu, yang terletak di pergunungan Shan di Burma. Keluarga Luang berkait rapat dengan keluarga Tub, Nontanakorn , Panyarachun dan Kochaseni.
Cik Menyalara telah dihantar kepada Sultan Ahmad Tajudin , sultan Kedah pada 1824, setelah dikalahkan oleh Siam tahun 1821.Sultan Ahmad Tajudin ialah sultan Kedah yang memerintah kedah pada tahun 1821 -1842. Cik Menyelara dipelihara leh Tunku Narimah , kakak sulung sultan. Nama asal Cik Menyelara ialah Niarang Luang Nara.
Sultan Ahmad Tajudin membenarkan Niarang berkahwin dengan Raja Muda sebagai isteri ke- 6. Dalam Islam, seseorang lelaki hanya dibenarkan berkahwin empat serentak sahaja.
Sultan Abdul Hamid telah menyerahkan banyak harta kepada Cik Menyelara. Antaranya ialah harta yang dirampas daripada Tengku Kudin ( Tengku Ziauddin) seorang kerabat diraja Kedah yang menjadi menantu Sultan Selangor dan terlibat dalam Perang Kelang pada tahun 1860-an.
Sultan Abdul Hamid menyerahkan kepada Cik Menyelara sebuah rumah tiga tingkat berbentuk pagoda yang dinamakan Istana Tiga Tangga. Istana ini telah dibina oleh seorang tukang Cina, 90 tahun sebelum Cik Menyelara mendudukinya.
Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak
sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana
dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap
burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit
puru di kakinya.
Pendidikan
Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di
Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar
bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya
untuk mengajar bahasa Inggeris.
Tunku kemudian berpindah ke sebuah
sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul
Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca
Al-Quran pada waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok
untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang
sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School).
Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang
Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin.
Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.
Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri
Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di
Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima
pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah.
Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana
dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah
kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua
sekolah itu terpaksa meminta maaf.
Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya,
Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian
bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Tunku tidak
dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana
terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada
sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar
undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas
hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam
jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930.
Selepas
pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat
Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai
Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun 1932.
Beliau
dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat
British sewaktu itu.
Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai
Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan
Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai
Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga
untuk menyambung pelajaran undang-undangnya ketika berumur 35 tahun. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana
terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940,
beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan
Am Selatan Kedah.
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah,
ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British
hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan
melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan.
Berpakaian
Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu
bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah
dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan
Penghulu Wahab.
Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star.
Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya
diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid
meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai
Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun
yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.
Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947 ketika itu berumur 44 tahun.
Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau
dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan
Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha.
Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang
menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George
Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi
peguam pada tahun 1949.
Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola
sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957.
Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk
Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang
sehingga 1976.
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni
Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990)
merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari tahun 1955, dan Perdana
Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970.
Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada
pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau
juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".
No comments:
Post a Comment