Pages

Tuesday, 3 December 2013

pusat ternakan ayam daging moden

KANGAR, 8 Okt (Bernama) -- Sebuah pusat ternakan ayam terbesar dan moden berasaskan teknologi hijau, bakal diwujudkan di Chuping, dekat sini yang dijangka menghasilkan pengeluaran 27 juta ayam setahun.

Projek ternakan ayam secara bersepadu itu akan dilaksanakan oleh pelabur tempatan, Terramark Sdn Bhd (Terramark) secara usaha sama dengan kerajaan negeri Perlis.

Majlis menandatangani perjanjian usaha sama itu berlangsung di hotel Seri Malaysia Kangar hari ini, disaksikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin.

Terramark diwakili Pengerusinya Datuk Rosli Sharif manakala Menteri Besar Perlis Azlan Man mewakili kerajaan negeri Perlis.

Projek ternakan ayam di tapak seluas kira-kira 80 hektar itu membabitkan pelaburan berjumlah RM270 juta dan bakal menyediakan 700 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Selain menyediakan ladang ternakan moden dan berhawa dingin, Terramark yang ditubuhkan oleh syarikat induknya, Seloga Holdings Berhad pada 12 Mac lalu itu juga akan turut membina kilang memproses makanan ayam di kawasan seluas empat hektar di Padang Besar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Perlis Sabry Ahmad berkata projek itu adalah pelaburan pertama kerajaan negeri di bawah pimpinan Azlan.

Beliau berkata kerajaan negeri menyediakan tapak projek secara pajakan selama enam puluh tahun dengan mengeluarkan dua geran hak milik tanah di Chuping dan Padang Besar sebagai tapak projek yang akan dibangunkan secara bersepadu.

Sabry berkata Terramark bersetuju membayar premium tanah, cukai tanah tahunan dan sumbangan dari keuntungan projek sebanyak RM325,500 setahun kepada kerajaan negeri bermula tahun ketiga operasi hingga tahun kesepuluh.

Kerajaan negeri juga diberi pegangan ekuiti sebanyak 10 peratus dalam projek berkenaan.

"Kerajaan negeri juga berharap melalui perlaksanaan projek ini dapat menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar Perlis dan meningkatkan pendapatan per kapita penduduk serta penggalak pertumbuhan ekonomi sampingan," kata Sabry.

Sementara itu, Rosli berkata bahan asas makanan ayam iaitu jagung dan gandum akan diimport dari Kemboja untuk diproses sebagai makanan ternakan berkenaan.

Pembinaan infrastruktur untuk projek di kawasan ladang tebu Chuping itu dijadualkan bermula tahun depan dan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun, katanya.

No comments:

Post a Comment