seorang usahawan tani dari Kampung Ambawa, di sini yang menceburi bidang
pertanian sebagai aktiviti utama menyara keluarga sejak lebih 20 tahun
lalu. Awang Badar Awang Ismail, 62, pengusaha kolam ikan air tawar,
mengakui bidang pertanian boleh memberi kesenangan kepada sesiapa saja
asalkan ada minat dan usaha. Bapa kepada enam anak ini mengakui walaupun
bukan mudah untuk menjadi usahawan tani, terutama di peringkat awal
tetapi apabila sudah membuahkan hasil, kepuasan yang dikecapi sukar
digambarkan. "Saya berminat dalam bidang pertanian terutama menternak
ikan air tawar dan saya bersyukur kerana usaha sejak 20 tahun lalu
membuahkan hasil yang baik," katanya.
Bekas penerima anugerah
Peladang Jaya Papar pada 1980-an dan 1990-an ini menternak ikan keli
Afrika, kap, lampam jawa, jelawat dan talapia merah untuk pasaran
sekitar daerah Papar dan Keningau. Keli Afrika adalah ternakan utamanya
dengan keupayaan pengeluaran kira-kira 50 kilogram (kg) seminggu atau
200kg sebulan dengan pendapatan hasil jualan lebih RM2,000.
"Minat
menternak ikan timbul selepas melihat kejayaan rakan saya dari Kampung
Mawao di Membakut menternak ikan air tawar pada 1980-an. Saya ingin
mencontohinya lalu mengambil keputusan membina kolam dengan modal
sendiri. "Malah saya sanggup menempah anak ikan keli Afrika dari Kuala
Lumpur untuk diternak di kolam ketika itu," katanya. Dengan modal
kira-kira RM10,000, Awang Badar membina 16 kolam konkrit untuk menternak
ikan keli Afrika di samping beberapa kolam lain bagi ternakan kap,
lampam jawa, talapia merah dan jelawat. Kini, selain menjual ikan
matang, Awang Badar turut menjual anak ikan kepada penternak ikan air
tawar.
Menariknya penghasilan anak ikan menerusi proses
persenyawaan benih ikan jantan dan betina dilakukan sendiri tanpa tunjuk
ajar mana-mana pihak. "Saya cuma melihat kaedah penetasan anak ikan di
televisyen. Dari situ saya mencubanya dan Alhamdulillah, nampaknya
berjaya. "Kini saya mampu menghasilkan sehingga 4,000 anak keli pada
satu masa," katanya. Selaras konsep pertanian adalah perniagaan, Awang
Badar yang dibantu tiga anaknya turut memasarkan sendiri ikan
ternakannya di pasar tamu mingguan di Papar.
"Walaupun memerlukan
penjagaan yang rapi, namun kegiatan ini memberikan pulangan yang baik.
Setiap minggu saya menjual 50kg ikan keli Afrika dan mendapat RM500.
"Pasaran tiada masalah kerana ketika ini permintaan orang ramai memang
banyak terutama ikan keli Afrika. Malah, ada yang sanggup datang dari
Keningau ke kolam saya untuk membeli ikan," katanya.
Bagaimanapun,
beliau mengakui tidak mampu memenuhi permintaan secara pukal berikutan
bekalan yang terhad. "Ada yang datang mahu membeli sehingga 200 kilogram
tetapi saya terpaksa menolak kerana ikan yang ada tidak sebanyak itu,"
katanya. Memandangkan permintaan yang baik, beliau berhasrat membesarkan
aktiviti penternakannya dengan membina kolam tambahan bagi menampung
lebih banyak ikan. Katanya, dengan dibantu tiga anaknya beliau berharap
aktiviti itu dapat dikembangkan menjadi perniagaan keluarga yang dapat
diteruskan.
Penggemar ikan keli dari Kampung Benoni, Papar,
Rozman Abdullah, 43, berkata ternakan keli Afrika mendapat permintaan
baik pengguna kerana saiznya yang besar berbanding keli lain.
Bagaimanapun, katanya, bekalan ikan berkenaan belum mencukupi untuk
memenuhi permintaan kerana tidak ramai petani mengusahakannya. "Setahu
saya di Papar ini hanya Awang Badar yang menternak ikan berkenaan secara
besar-besaran. Itu pun belum cukup menampung permintaan," katanya.
Sebelum
ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Abdul Rahim
Ismail, menggalakkan usahawan tani di negeri ini mengusahakan projek
akuakultur air tawar memandangkan tidak ramai yang menceburi bidang itu.
Katanya, selain untuk pasaran tempatan ternakan ikan air tawar seperti
talapia dan keli mempunyai nilai eksport yang baik serta menjanjikan
pulangan lumayan kepada usahawan tani. Awang Badar adalah antara
usahawan tani yang berjaya membuktikan bidang akuakultur air tawar mampu
memberikan kesenangan kepada petani yang rajin mengusahakan tanah. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment