Pages

Tuesday, 3 December 2013

usahawan plastik polimer

Berbekalkan pengalaman 15 tahun di Bank Negara dalam pelbagai bidang tugasan selain pernah menyandang jawatan Ketua Jabatan Perbendaharaan di RHB Bank Bhd, beliau tekad dan yakin untuk menceburi industri pembinaan serta pembuatan produk plastik.

Lebih mencabar, Yusra Sabar, 59, sanggup mengambil alih dan memikul tanggungjawab besar memulihkan semula Rotocraft Industries (M) Sdn Bhd, pengeluar produk berasaskan plastik daripada abang iparnya pada 2001 yang
berdepan masalah kewangan ketika itu.

Beliau mengambil langkah itu kerana yakin ada potensi besar dalam industri plastik, selain mengenangkan nasib kakitangan yang bakal kehilangan pekerjaan sekiranya syarikat itu ditutup.

"Saya mengambil alih Rotocraft dengan bebanan hutang yang agak tinggi ketika itu. Namun semuanya dapat diselesaikan atas tekad kesabaran dan kesungguhan membina semula syarikat ini," kata Pengarah Urusan Rotocraft
ketika ditemui di Shah Alam, baru-baru ini.

Selain Rotocraft Industries, Yusra menerajui Rotocraft Technologies (M) Sdn Bhd, cabang pemasaran bagi syarikat induknya selain DSJ Builders Sdn Bhd (syarikat pembinaan) serta Prima Partners Sdn Bhd (mengendalikan
latihan dan perundingan).

Yusra berkata, sehingga kini beliau sentiasa menerokai peluang membangunkan perniagaan sendiri bagi membolehkannya menggunakan pengalaman sedia ada pada tahap maksimum.

Menceritakan pengambilalihan Rotocraft, katanya, beliau menggunakan sepenuh pengalaman dalam pengurusan perniagaan di beberapa syarikat pelancongan Kerajaan Negeri Melaka sebelum ini, termasuk di Dayaresort Sdn Bhd.

"Rotocraft Industries adalah perniagaan yang bagus dan saya sedar golongan Bumiputera yang berada dalam industri plastik amat kecil.

"Saya membeli bangunan ibu pejabat syarikat itu di Taman Industri Saujana Indah, Shah Alam pada harga RM88,000, selain meneruskan operasi kilang sedia ada di Rantau Panjang, Klang dan Kilang SME Bank di Shah Alam," katanya.

Syarikat itu mengeluarkan produk seperti tangki air, tong kitar semula, tong bahan buangan, kontena pelbagai guna, alat keselamatan pembinaan serta tangki ikan dengan sistem rawatan air.

Dalam usaha meningkatkan semula prestasi dan terus menjana pendapatan Rotocraft Industries, pelbagai usaha dilakukan termasuk bekerja keras mendapatkan tawaran tender kerajaan.

Namun, beliau terus berdepan dugaan apabila ramai kakitangan yang berhenti kerja kerana kurang yakin dengan kemampuan syarikat tetapi ia sedikit pun tidak menjejaskan semangat Yusra.

"Akhirnya, nasib dan rezeki ternyata menyebelahi kami apabila ditawarkan tender bernilai RM3 juta daripada kerajaan untuk membekalkan tong kitar semula kepada pihak berkuasa tempatan.

"Bagaimanapun, ini bukan satu perkhabaran yang baik kerana kami tidak mempunyai kewangan pada masa itu dan untuk memberi tender kepada pihak lain juga bukan idea yang baik. Saya begitu sedih sehingga berasa putus asa untuk melaksanakan kerja kontrak yang diperoleh kerana tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi," katanya.

Justeru, Yusra terpaksa meminjam wang daripada rakan bagi mendapatkan kepercayaan bank untuk mendapatkan jaminan pembiayaan berjumlah RM400,000, di samping berusaha mencari sumber pembiayaan lain.

"Kami terpaksa mendapatkan pinjaman kerana sebahagian bahan terpaksa diimport dari Thailand. Keuntungan yang kami peroleh daripada tender projek berkenaan ternyata mampu membantu kami menyelesaikan masalah kewangan syarikat," katanya sambil memberitahu syarikat banyak bergantung kepada projek kerajaan.

Rotocraft Industries terus mengorak langkah dengan menubuhkan Rotocraft Technologies pada 2004 sebagai cabang pemasaran dan penjenamaan produknya.

Syarikat itu terbabit dalam aktiviti dagangan dan pembuatan, khususnya produk plastik dan polimer yang mesra alam berteknologi tinggi bagi memenuhi keperluan industri.

Menerusi syarikat itu, Yusra memperkenalkan inovasi produk dengan menumpukan kepada pembuatan tangki ternakan ikan air tawar dengan jenama iCage atau `sangkar ikan'.

Katanya, produk berkenaan ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada Jabatan Perikanan, selain menerima pertanyaan dari beberapa negara termasuk Poland dan Indonesia.

"iCage menjadi satu jenama yang membangkitkan semangat perniagaan kami. Pada masa sama perniagaan konvensional masih diberikan tumpuan dengan terus berusaha mendapatkan tender kerajaan dan syarikat lain," katanya
yang juga sebagai Naib Presiden Persatuan Penjenamaan Malaysia.

Rotocraft Industries akan memberi tumpuan kepada penternakan ikan air tawar tahun ini dan ketika ini ia sedang membangunkan teknologi baru bagi menternak ikan keli, siakap dan tilapia secara komersial.

"Kami merancang untuk menembusi pasaran eksport Asia Barat bagi produk iCage menjelang akhi r tahun ini kerana kuasa membeli dan permintaan kukuh daripada negara berkenaan," katanya.

Syarikat menggunakan teknologi daripada Amerika Syarikat dan kini memperoleh tender bernilai RM3 juta bagi membekalkan tong ikan untuk Jabatan Perikanan menerusi Program Bumi Hijau.

Katanya, syarikat memperkenalkan sistem ternakan ikan dalam tangki poly dengan sistem kitaran air akuakultur yang tahan lama dan mudah diselenggarakan. Ia mempunyai pelbagai saiz yang dijual dari RM1,200 hingga RM25,000.

"Kami kini secara agresif mencari rangkaian pengedar di seluruh negara.Ketika ini produk iCage mempunyai pengedar di Kelantan, Sabah, Sarawak dan utara," katanya.

Yusra berkata, pihaknya kini melaksanakan pelbagai langkah bagi meningkatkan prestasinya, termasuk melabur dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mengeluarkan produk baru, sekali gus bagi mencapai sasaran jualan RM30 juta tahun ini.

Selain Rotocraft Industries, beliau juga sentiasa berusaha mengembangkan perniagaan pembinaannya, menerusi DSJ Builders yang kini mempunyai kontrak dalam tangan bernilai kirakira RM12 juta.

Ini termasuk proj ek membina dan menyi ap kan bang unan Sekolah Kebangsaan Kesang, Muar, Johor dan pengubahsuaian Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar) di Kuala Lumpur.

INFO

Profil Yusra Sabar
Usia : 59 tahun
Asal : Muar, Johor
Status : Berkahwin dan mempunyai empat orang anak
Pendidikan:
* Sarjana Sastera (Ekonomi dan Kewangan), Boston University Amerika Syarikat (1976),
* Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian), Universiti Malaya (1973)
Syarikat dimiliki:
* Rotocraft Industries (M) Sdn Bhd
* Rotocraft Technologies (M) Sdn Bhd
* Prima Partners Sdn Bhd
* DSJ Builders Sdn Bhd
Pengalaman:
* Ahli Ekonomi Kanan BNM (1978-1979)
* Pembantu Khas Gabenor BNM (1979-1981)
* Ketua Jabatan Perbendaharaan Development & Commercial Bank Bhd (kini RHB Bank Bhd) (1985-1988)
* Pengurus Besar Yayasan Melaka (1988-1993)
* Pengarah Urusan Kumpulan Dayaresort Sdn Bhd (1993-1995)

No comments:

Post a Comment