Meskipun pada
awalnya dia terlibat dengan sektor pelancongan, namun mengambil
keputusan beralih angin tidak mematahkan semangatnya untuk menceburi
bidang tersebut .
Bermula
dengan syarikat Lia Sari Marketing yang ditubuhkan pada tahun 2007
untuk bergiat dalam jual beli dan mengusahakan pertanian secara
komersial, kini Razak mengusahakan ladang ternakan itik daging.
Berdasarkan
hasil pemerhatian yang dilakukan, Razak kemudiannya mengambil keputusan
menternak itik kerana dia suka mencuba sesuatu yang baru dan tidak
mempunyai ramai pesaing.
"Saya melihat ternakan itik pedaging Muscovy
atau serati yang tidak mempunyai banyak pesaing, saya mengambil
keputusan menternak itik," katanya semasa ditemui di ladang ternakan
itiknya di Kampung Hulu Lepar, Mukim Gali, Dong, Raub, Pahang.
Malah,
apa yang lebih membanggakan, menurut perangkaan Jabatan Perkhidmatan
Veterinar (JPV) Raub dan Kuantan buat masa ini, Lia Sari Marketing
merupakan penternak terbesar itik pedaging di negeri Pahang.
Mendapat
khidmat nasihat daripada JPV Raub dan Kuantan, Razak menternak lebih
5,000 ekor itik pedaging di kawasan seluas tujuh ekar.
Mendapatkan
benih itik daripada penternak swasta, beliau menternak anak itik
berusia dua hari sehingga berusia empat bulan sebelum boleh dijual di
pasaran.
Biasanya setiap bulan, beliau membeli antara 1,500 hingga 2,000 ekor anak itik bagi memastikan bekalan itiknya sentiasa ada.
Hasil
kajian dan pengalaman hampir setahun mengendalikan anak itik,
pekerjanya dapat mengurangkan jumlah kematian sehingga kurang 10 peratus
setiap kali penghantaran.
Razak berkata, pada hari pertama sampai, anak itik dicelupkan muncungnya ke dalam air sebelum dimasukkan ke dalam kotak asuhan.
Setelah
berada dalam kotak asuhan antara tiga hingga lima jam, anak itik
diberikan makanan dan minuman yang dicampurkan dengan anti stres yang
ditambah dengan vitamin dan dibiarkan selama dua minggu.
Pada
usia satu hingga dua minggu, anak-anak itik akan ditimbang berat bagi
tujuan pemantauan tumbesaran dan menentukan jumlah makanan yang
diperlukan.
"Biasanya
kuantiti makanan yang diberikan bergantung kepada berat badan anak
itik," katanya yang memberikan dedak hitam kepada anak itik.
Kotak asuhan akan dicuci setiap dua hari bagi memastikan kebersihan, kesihatan dan keselamatan anak itik sentiasa terpelihara.
Biasanya
semasa berusia awal tiga minggu, muncung anak itik akan dipotong atau
dikikis bagi mengelakkan mereka memagut antara satu sama lain.
Anak
itik yang berusia antara dua hingga tiga minggu akan dilepaskan di
reban besar dan lapang bagi memastikan keselesaan dan ruang makanan yang
lebih besar.
Di kawasan ini juga terdapat kolam untuk itik berenang bagi menyejukkan badan dan mengurangkan stres.
Ternakan itik akan ditempatkan di reban pertama selama 10 hingga 12 minggu sebelum diasingkan di kandang lain.
Bagi
menjimatkan kos makanan ternakan Razak menggunakan pelet dan dedak
serta makanan tambahan seperti hampas soya, kulit roti, kelapa kering
dan sayur-sayuran.
Semasa
itik berusia antara 14 hingga 16 minggu, ternakan yang sesuai akan
diasingkan ke ladang transit bagi memudahkan ditangkap sebelum
dikumpulkan di dalam bakul untuk dijual.
Biasanya
itik yang ditangkap pada awal subuh hari Khamis atau Jumaat akan
dihantar ke pasar-pasar sekitar bandar raya Kuala Lumpur seperti pasar
borong lama Selayang, pasar Seri Kembangan, pasar Kajang, pasar Pudu dan
pembeli yang datang sendiri ke ladang ternakannya.
Setiap
bulan paling minimum, Lia Sari Marketing mampu menjual 1,350 ekor itik
daging dan ia mempunyai sebanyak 6,000 ekor itik dalam masa empat bulan
atau satu pusingan.
Razak
berkata, harga itik yang dijual adalah RM8 sekilogram (kg) dan
RM15.00/kg bagi harga runcit itik yang siap sembelih dan dibersihkan.
Biasanya
terdapat dua kategori itik yang dijual, misalnya bagi jualan di pasar,
itik yang diperlukan adalah lebih kurang tiga kg manakala untuk restoran
pula empat kg.
Bagi
memantapkan lagi operasi perniagaan, Razak bercadang untuk membuka
gerai sendiri bagi jualan terus di pasar tani dan pasar malam di Lembah
Kelang bagi peringkat permulaan.
"Bagi
meningkatkan lagi operasi ternakan itik daging, kami bercadang membuka
ladang baru dengan memohon tanah daripada pihak berkuasa seluas 12
hektar (30 ekar).
"Kami juga bercadang menjadi pembekal atau pengedar anak itik Muscovy di seluruh negara bagi membantu pusat penetasan itik," katanya.
Selain
itik, Razak juga mempunyai sembilan buah kolam ikan tilapia dan keli di
tanah seluas tujuh ekar sebagai pendapatan sampingan kepada itik.
Mendapat
benih ikan tilapia dan keli daripada pembekal, Lia Sari Marketing dapat
menghasilkan sehingga dua tan ikan bagi pasaran di pasar borong.
No comments:
Post a Comment