Pokok kabung, sejenis pokok palma berasal dari Indonesia yang dikenali juga sebagai pokok Enau atau nama botaninya, Arenga pinnata, mungkin agak pelik berbanding dengan pokok daripada spesies palma yang lain.
Pokok daripada keluarga Arecaceae
ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan
buahnya pula tumbuh kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga
hampir mencecah tanah.
Malah,
dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir
ke tanah, menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan
mati.
Ini
berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok
kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi
mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.
Pokok
kabung, yang mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di
proses menjadi gula merah dikatakan hanya akan mengeluarkan nira
daripada tandan sepadan dengan 'pujukan' yang diberikan.
Tidak
semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga
jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.
Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.
Kerja
'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira di Ladang
Sungai Balung, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu
secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman mereka sejak
bertahun-tahun lamanya.
''Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya.
"Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.
''Tujuan
mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran
air nira dalam batang tandan berkenaan. Kalau tidak dibuat begini air
nira tidak akan keluar", kata Nurdin Baddusa, 49, yang telah menjalankan kerja mengutip air nira sejak tujuh tahun lepas.
Menurut Nurdin, ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan.
"Jika
ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan
keluar langsung," kata Nurdin ketika ditemui di Ladang Sungai Balung,
kira-kira 60km dari sini.
Beliau
adalah seorang daripada kira-kira 20 pekerja pemungut air nira di
ladang berkenaan. Menurut Nurdin amalan berkenaan perlu dilakukan
sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan berterusan sehingga bunga pada
tandan pokok Kabung kembang.
''Apabila
bunga pada tandan berkenaan sudah kembang, tandan berkenaan bolehlah
dicantas dan jika aliran air niranya sudah agak deras ia boleh ditadah
dengan bekas yang direka khas.
"Jika
belum deras, bahagian hujung tandan yang dicantas itu perlu dihiris
sebaiknya sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu petang
sehingga aliran niranya deras", katanya.
Nurdin
berkata, nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok
kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 10 liter nira sehari.
Katanya,
nira yang siap dikutip kemudian dihantar ke kilang pemprosesan yang
terletak dalam ladang berkenaan untuk diproses menjadi sirap nira kabung
(Arenga Pinnata Syrup).
"Kami
memproses kira-kira 700 kg nira kabung sehari," kata Masriani Mansor,
ahli teknologi makanan di kilang pemerosesen sirap nira kabung
berkenaan.
Sementara itu Pengurus Besar Kebun Rimau Sdn Bhd K.Arunagirinathan yakin sirap nira kabung atau gula kabung suatu hari nanti akan menjadi satu daripada sumber gula utama di negara ini.
Menurutnya,
gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada
itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi
pengidap kencing manis.
''Kami
sudah menanam kira-kira lebih 5,000 pokok kabung daripada jenis benih
bermutu tinggi meliputi kawasan seluas kira-kira 809 hektar di Ladang
Sungai Balung.
''Dalam
tempoh 10 tahun dari sekarang mungkin kami perlu membina kilang
memproses sirap nira kabung atau gula merah yang lebih besar.
''Saya
juga yakin suatu hari nanti sirap nira kabung ini akan menjadi sumber
gula utama di negara ini malah mungkin juga menjadi pilihan utama
penduduk dunia kerana kebaikannya dari segi kesihatan", katanya.
Arunagirinathan
berkata, sirap nira kabung yang dikeluarkan syarikat berkenaan yang
kini sudah berada dalam pasaran tidak mengandungi bahan kimia atau
pewarna atau perasa tiruan sebaliknya keasliannya dikekalkan.
Katanya,
idea penanaman pokok kabung berkenaan secara besar-besaran bermula
sembilan tahun lepas apabila pengerusi syarikat berkenaan Datuk Harris
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah membawa benih pokok berkenaan
dari Indonesia.
Menurutnya, sirap nira kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.
Antara
makanan yang popular dengan campuran gula atau nira kabung ialah bubur
kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang,
air batu campur dan cendol.
Sirap nira kabung juga boleh digunakan sebagai pemanis dalam pembuatan kek serta pastri, makanan bijirin dan jus buah-buahan. - Bernama
No comments:
Post a Comment