Walaupun pernah gagal
mengusahakan tanaman cili merah sebelum ini, Abd. Latif Mohd. Yusof, 48,
tidak pernah kenal erti putus asa.
Sebelum
ini, tanaman cili yang diusahakan di Paya Kangsar, Jerantut, Pahang
diserang dengan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan cili yang tidak
dihasilkan tidak bermutu dan terpaksa dimusnahkan.
Biarpun
gagal buat kali pertama, Abd. Latif tetap dengan usaha terus
mengusahakan ladang cili kulai merah di tanah seluas lima ekar secara
sambilan di Kampung Perian, Jerantut, Pahang.
Beliau
yang membeli benih cili merah kulai di sekitar Jerantut mengusahakan
ladang cili buat kali kedua memilih tanaman ini kerana harga cili yang
tinggi dan permintaan yang semakin meningkat.
Walaupun baru enam bulan ditanam, cili merah yang ditanam telah mula mengeluarkan hasil kira-kira 500 kilogram cili sehari.
Beliau
memasarkan cili merahnya kepada pemborong yang datang dari pasar
Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Borong Selayang, Selangor.
Bekerja sepenuh masa sebagai pemborong getah, Abd Latif berkata, tanaman cili merah memerlukan penjagaan yang rumit.
Katanya,
tanaman cili merah amat terdedah kepada pelbagai risiko penyakit akibat
hama, kulat, virus dan serangan pelbagai jenis serangga perosak.
"Sejak
mula ditanam sehingga berbuah selepas empat bulan, pokok cili merah
memerlukan kos penjagaan yang tinggi sekitar RM40,000 sehingga
mengeluarkan hasil," katanya semasa ditemui di ladangnya, baru-baru ini.
Pokok cili memerlukan penjagaan dan pengurusan yang rapi dengan semburan racun serangga dilakukan setiap tiga hari.
Beliau yang mempunyai enam pekerja, menjalankan tugas pembajaan setiap minggu selain penyiraman setiap petang.
Ketika
ditanya mengapa tidak mempelbagaikan tanaman dengan cili padi, Abd
Latif berkata, cili padi memerlukan tenaga pekerja yang lebih banyak
untuk tugas-tugas memetik cili.
"Walaupun harga cili padi lebih tinggi tetapi masa memetik cili lebih lama berbanding cili merah," katanya.
Beliau berhasrat untuk membesarkan lagi keluasan ladang cili merahnya kerana mengeluarkan hasil dalam tempoh lebih lama.
Pokok cili, kata Abd Latif, boleh mengeluarkan hasil sehingga setahun sebelum ditanam semula.
"Selepas
ini, saya akan tetap terus menanam cili merah sehingga saya boleh
dikatakan penanam cili merah yang berjaya di daerah Jerantut, Pahang.
"Saya akan berusaha mengawal semua jenis penyakit dan serangga yang menyerang pokok cili merah," katanya. - Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment